06 November 2008

Hukum Membuat Pinjaman Wang Atau Berhutang Untuk Menunaikan ‘Ibadah Haji.


Soalan : Adakah dibolehkan seseorang mukallaf yang ‘aqil baligh untuk meminjam wang@berhutang dengan individu tertentu semata-mata untuk menunaikan ibadah fardhu haji?

Jawapan : Sesungguhnya antara keistimewaan Syariah Islam ialah ianya tertegak atau didirikan atas dasar memudahkan dan mengangkat(menghilangkan) kesusahan.Di antara dalilnya :
يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر )) البقرة / 185 ))
Maksudnya : Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesusahan(kesukaran) bagimu.

وما جعل عليكم فى الدين من حرج )) الحخ / 78 ))
Maksudnya : Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.

Mafhum dari 2 ayat di atas iaitu Allah swt tidak meFardhukan@mewajibkan ke atas kamu sesuatu yang membawa kepada kesempitan dan kesulitan.

Berkaitan dengan kefardhuan Haji,sesungguhnya alQuran telah menerangkan dengan jelas bagi mereka yang diwajibkan menunaikan Haji :

ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا )) آل عمران / 97 ))
Maksudnya : Mengerjakan Haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah

Mafhum dari ayat ini bahawasanya Allah telah mewajibkan ke atas hamba-hambanya supaya menunaikan Haji di Rumah-Nya(Baitullah)pada waktu-waktu tertentu dan dengan cara-cara(kaifiat) yang telah dikhususkan setelah mana mereka berada dalam keadaan yang mampu dari segi harta dan fizikal.Sesungguhnya Nabi S.A.W telah mentafsirkan maksud kemampuan ini(Qudrah) ialah dengan memiliki bekalan dan kenderaan untuk menunaikan Haji.
Maka diriwayatkan dari Saidina Anas r.a bahawa beliau telah berkata :
Bahawa Nabi S.A.W. telah ditanya apakah maksud sabil (سبيل) iaitu yang disebutkan dalam ayat :
(( من استطاع إليه سبيلا ))
Maka bersabda Nabi S.A.W. : Bekalan (yang mencukupi) dan kenderaan.

Iaitu mereka yang memiliki harta yang mencukupi untuk keperluan asas yang penting dan keperluan yang merangkumi sepanjang tempoh perjalanan pergi balik ke Mekah,tempoh sepanjang berada di Mekah menunaikan ibadah Haji dan mencukupi keperluan makan minum serta perjalanannya selama menunaikan Haji.

Imam alBaihaqi telah meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa bahawa beliau telah berkata : Aku telah bertanya Rasulullah S.A.W.berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan haji,adakah boleh dia meminjam untuk menunaikan Haji? Nabi S.A.W menjawab : Tidak.
Sesungguhnya para Fuqaha’ telah mengambil hadis ini(sebagai istinbat hukum) bahawasanya tidak seharusnya bagi seseorang muslim untuk berhutang semata-mata untuk membolehkan dia menunaikan Haji kerana Allah s.w.t telah berfirman :
لا يكلف الله نفسا إلاّ وسعها )) البقرة / 286 ))
Maksudnya : Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Oleh demikian itu ,kami menasihati setiap individu muslim dan muslimah agar tidak berhutang sama ada untuk menunaikan Haji atau atas segala tujuan yang lain pun melainkan dalam keadaan darurat(terpaksa)untuk menutup atau menampung sesesuatu yang berkaitan dengan kehidupan manusia.Sebagaimana kami menasihati mereka yang sanggup menjatuhkan airmuka untuk berhaji menggunakan nafqah atau keperluan orang lain(berhutang) supaya menjauhi perkara tersebut kerana yang demikian itu menafikan kemuliaan akhlak.
Walau bagaimanapun,sesungguhnya para fuqaha’ telah berkata bahawa walau seseorang itu meminjam wang untuk menunaikan haji,sesungguhnya ibadah Hajinya diterima dan gugur kefardhuan haji mereka dengan cara meminjam itu.Maka sesungguhnya seluruh amalan itu berdasarkan niat,dan setiap seseorang itu atas apa yang telah dia niatkan.Dan kita memohon kepada Allah swt agar menambahkan bagi kita taqwa,hidayah dan kekayaan.

-Petikan daripada sisipan Majalah Al-Azhar bulan DzulQaedah 1429 oleh Dr Muhammad Sayyid Tantawi,SyeikhulAzhar.

Tiada ulasan: