25 Februari 2009

Mantan MB Pernah Diberi Amaran ‘Bala’ Yang Akan Menimpa


Kuala Terengganu – Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh pernah diberi peringatan oleh pewaris lapisan ke enam Tok Sheikh Duyong, supaya menghentikan segera kejohanan perahu layar ‘Monsoon Cup’. (Gambar - Monsoon Cup, gambar kecil, Iyaz Spa and Resort, dulunya Kelab Teluk Warisan, yang didirikan diatas tanah anugerah sultan kepada Tok Sheikh Duyong)

“Yang saya marah, Pulau Duyong Kecil itu, telah dijadikan hotel (Kelab Teluk Warisan), apabila telah dijadikan tempat sebegitu,jadi tempat maksiat, arak naik, perempuan naik, judi, perkara-perakara yang bertentangan dengan Islam, itu yang berbalik kepada (wasiat) Tok Sheikh tu, tak benarkan arak (dan maksiat),”kata Wan Mohd Salleh @ Wan Ngah Hj Yaakub di rumahnya Kuala Ibai, kelmarin.


Menurutnya sebelum pilihanraya umum ke 12, Mac tahun lalu, beliau telah bertemu secara berdepan dengan mantan Menteri Besar Terengganu di pejabatnya.

Beliau berkata, ketika pertemuan yang berlangsung selama sejam setengah itu, beliau telah menceritakan seluruh kisah termasuk ‘wasiat’ Tok Sheikh Duyong.

“Saya cerita habis tentang Tok Sheikh Duyong, dia tak kata apa, jadi akhirnya saya kata (kepada Idris) saya mari jumpa Dato’ ni bukannya apa, saya nak lepaskan tanggungan saya, hok Tok Sheikh Duyong hari tu, kalau saya biar begini (tak beritahu) saya tanggung dosa, sebab saya tahu ceritanya (wasiat Tok Sheikh Duyong).Kalau Dato’ nak jalan juga, Dato’ punya pasallah,”kata beliau yang pernah menjadi guru kepada Idris di Besut pada awal tahun 1960an dahulu.

Walaupun begitu beliau berharap agar Idris sebagai Menteri Besar ketika itu membatalkan acara sukan perahu layar yang banyak mengundang perlanggaran kepada wasiat Tok Sheikh Duyong.

“Tok sah (jangan) buatlah (Monsoon Cup), kalau nak buat, ganti tempat asal, buat tempat (belajar) ugama,”ujarnya lagi.

Katanya, apabila tidak mendapat apa-apa respon dari Idris, sebelum beliau pulang, beliau sekali lagi memberikan ingatan yang keras berbentuk amaran kepada Idris.

“Tak apa lah Dato’(Idris), saya nak balik dah, saya harap Dato’ pegang betul-betul jangan main-main, saya bimbang kalau Dato’ teruskan juga, bala akan turun,”katanya menceritakan kepada Buletinonline kisah pertemuannya dengan Idris.

Tiga bulan selepas perjumpaan antara dengan Dato’ Seri Idris, pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) telah diadakan pada 8 Mac, 2008.

Walaupun Idris menang dalam PRU 12 dan Barisan Nasional mendapat majoriti kerusi dalam DUN Terengganu, Idris yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional negeri Terengganu gagal menjawat kembali jawatan Menteri Besar.

Tok Sheikh Duyong, adalah ulama’ terkenal nusantara, telah dilantik menjadi Mufti Terengganu oleh Sultan Omar pada tahun 1846.

Semasa pertabalan anak muridnya, Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung dalam solat hajatnya telah berdoa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan.

Tok Sheikh Duyong telah diberikan anugerah sebuah pulau, Pulau Duyong Kecil oleh Sultan Terengganu dan dijadikan kawasan penempatan anak-anak muridnya yang datang ke Pulau Duyong untuk menuntut ilmu ugama.
Tok Sheikh Duyong pernah berpesan dan kemudiannya menjadi ‘wasiat’ agar tidak membenarkan setitik arak pun tumpah di atas Pulau Duyong Kecil dan tidak dibenarkan berlaku sebarang maksiat di atasnya.

- Adaptasi dari Buletinonline,Rabu,25/2/2009.

12 Februari 2009

Culture Shock

Jutaan kemaafan dihulurkan buat semua pengunjung blog kerana telah lama penulis tidak mengemaskini blog ini terutama buat rakan-rakan seperjuangan yang berada di Mesir.

Semenjak kepulangan penulis ke tanah air ini,perkara pertama yang boleh penulis ungkapkan kepada diri penulis adalah 'culture shock'.Status kepulangan penulis sekarang ini amat jauh berbeza berbanding ketika kepulangan pada 2007 lalu.Dulu adalah kepulangan yang lebih difokuskan untuk 'bercuti' semata.Tapi kali ini semenjak penulis berada di dalam perut 'flight' lagi,perasaan gementar telah timbul lantaran kepulangan ini sebenarnya adalah menandakan titik permulaan buat penulis memulakan satu lagi kehidupan yang baru.Satu lagi tugasan yang baru.

Tatkala mula-mula menjejakkan kaki di KLIA dulu memang agak menggembirakan kerana telah berada di tanah air sendiri tapi itu sekejap sahaja.Kegembiraan itu hilang sedikit demi sedikit.Kemungkaran berlaku di depan mata.Sebaik melepasi imigresen,penulis tersentak dek ilaian ketawa 2@3 orang belia 'jante betino' dalam sebuah kedai.Ter'cerlong' mata penulis melihat mereka.Tapi apa yang lebih mengejutkan 'demo' ni duk dalam kedai najis!Jaga kedai najis!Cashier Kedai Arak!!!

Maasyaa-Allah!Macam-macam penulis terfikir ketika itu.Selama ni diaorang 'mengaji bende?'Mak bapak diaorang ini tahu ke? Menggigil seketika penulis ketika itu menahan perasaan marah dan geram,tergerak hati untuk nak pergi tegur diaorang.Mulut ni nyaris-nyaris nak 'sound' diaorang.Tapi tiba-tiba hati jadi sedih kerana tak mampu untuk berbuat begitu.Lemahnya iman.Astaghfirullah...Penulis hanya mampu men'cerlong' mata kat diaorang.Sekurang-kurangnya 'cerlongan' itu telah membuatkan mereka senyap.

Walau bagaimanapun,kalau beginilah keadaannya,memang jahil benarlah masyarakat kita.Perkara agama yang sepatutnya diketahui umum oleh muslim biasa pun mereka tak tau!Apatah lagi kalau berkaitan politik,lagi la jauh!

Peristiwa sebegini tidak terhenti setakat itu.Macam-macam perkara lagi berlaku yang menambahkan ke'culture-shock'an penulis.Tak perlu lah penulis senaraikan di sini.Cuma perkara-perkara seumpama inilah yang membuatkan penulis gementar kerana tanggungjawab memberi kesedaran agama buat ummah itu memang terletak di bahu para agamawan.Apatah lagi penulis!

Situasi politik di Perak,keganasan di Palestin,kemerosotan ekonomi dunia dan bermacam-macam lagi peristiwa yang berlegar sekitar penulis sedikit sebanyak membuatkan penulis pening apatah lagi penulis juga agak sibuk menguruskan beberapa permohonan kerja sehinga tidak sempat mengambil tahu keadaan sebenar dan tepat yang melanda sekeliling penulis.Keterbatasan maklumat sebelum internet aktif di rumah sesekali membuatkan penulis tak cakna 100% terhadap peristiwa-peristiwa ini.Inilah juga antara kejutan budaya yang terpaksa penulis hadapi.Penulis menganggarkan mungkin dalam tempoh sebulan selepas balik ini jadual harian masih kurang stabil.

Demikianlah sedikit coretan yang boleh penulis ceritakan.Sama-sama kita doakan untuk keizzahan Islam dengan diberi kekuatan spiritual oleh Allah terhadap kita yang bertanggungjawab terhadap tugas tersebut.


Antara 'kejutan'...

01 Februari 2009

Claim Tambang Penerbangan dan Penghapusan

Hari ini,penulis menjejakkan kaki ke Yayasan Terengganu untuk melakukan beberapa urusan penting.Penulis bercadang untuk menyatakan beberapa maklumat yang penulis rasa penting untuk disampaikan terutama buat penuntut-penuntut El-Azhar University yang mendapat pinjaman Yayasan Terengganu.

Urusan pertama adalah berkaitan tuntutan tambang tiket penerbangan pulang dari Kaherah ke Malaysia.Untuk ini,buat atau sediakan surat permohonan tuntutan tambang penerbangan yang ditujukan kepada pihak Penolong Pengarah (Bahagian Tajaan).Sertakan serba sedikit biodata peribadi dan tempat pengajian.Lampirkan bersama-sama surat tersebut salinan tiket penerbangan elektronik yang telah disahkan.Dokumen-dokumen lain tidak diperlukan.Seterusnya,kerani bertugas akan menguruskan tindakan atau urusan seterusnya.InsyaAllah,dalam tempoh lebih kurang sebulan bayaran tuntutan tambang tersebut akan diperolehi bergantung makluman yang akan disampaikan oleh pihak Yayasan Terengganu.


Urusan kedua adalah berkaitan permohonan penghapusan bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu.Bagi peminjam yang kontraknya bermula sesi 2004/2005,syarat bagi penghapusan bayaran balik pinjaman adalah sekurang-kurangnya mendapat pangkat JAYYID untuk tempoh pengajian yang ditetapkan iaitu selama 4 tahun.Bagi peminjam yang kontraknya bermula sesi 2005/2006,maka syarat minimum untuk penghapusan tersebut adalah mendapat keputusan peperiksaan sekurang-kurangnya mendapat pangkat JAYYID JIDDAN,juga untuk tempoh pengajian yang ditetapkan.

Baik,bagi peminjam yang memenuhi syarat tersebut,kemukakan permohonan untuk penghapusan bayaran balik pinjaman dengan menulis surat ditujukan kepada Pen. Pengarah(Bahagian Tajaan) juga seperti urusan pertama tadi.Sertakan maklumat peribadi dan pengajian.Dokumen-dokumen penting yang perlu dilampirkan adalah salinan terjemahan pengesahan tamat belajar dan transkrip keputusan peperiksaan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK@MSD).Salinan yang difotostat hendaklah disahkan benar sebagaimana dokumen asal oleh sama ada Pegawai-pegawai JPMK atau pegawai-pegawai Yayasan Terengganu(Bahagian Tajaan) sahaja.Maka,proses seterusnya akan diuruskan oleh kerani bertugas.InsyaAllah,menurut kerani bertugas,permohonan tersebut biasanya akan diluluskan dan dimaklumkan melalui surat-menyurat.

Penulis juga berkesempatan bertemu bakal Pegawai Hal Ehwal Pelajar Terengganu di Mesir iaitu Ustaz Kamal(bekas ADUN BN di Sura).Katanya akan bertolak ke Mesir dalam masa terdekat.Harapan penulis agar beliau dapat mengambil berat kebajikan pelajar di sana secara profesional tanpa ada sentimen politik yang tak sepatutnya.

Dalam pada itu juga,penulis terserempak dengan Ustaz Mat Ropi bin Busu iaitu bekas Pegawai Hal Ehwal Pelajar Terengganu Terengganu di Mesir.Penulis hanya sempat bertegur-sapa seketika sahaja memandangkan beliau agak sibuk bertemu dengan tetamu beliau.Secara fizikal,beliau kelihatan agak sihat.

Begitulah serba sedikit penulis dapat ceritakan berkaitan urusan-urusan tersebut.Diharapkan pengunjung@pembaca blog yang berkenaan mendapat panduan berguna melalui entri ini.

p/s - Entri ini adalah yang pertama semenjak kepulangan penulis ke bumi Malaysia.InsyaAllah,selepas pemasangan internet di rumah penulis sendiri nanti dapat meneruskan kesinambungan penulisan blog ini.Segala kekurangan harap dimaafkan.Wallahu a'lam.