05 Mei 2015

TAHAP KEFAHAMAN IBADAH SOLAT DALAM KALANGAN PELAJAR PEKAK DAN BISU BERAGAMA ISLAM DI POLITEKNIK KOTA KINABALU



TAHAP KEFAHAMAN IBADAH SOLAT DALAM KALANGAN PELAJAR PEKAK DAN BISU BERAGAMA ISLAM DI POLITEKNIK KOTA KINABALU


Khairul Fitri Bin Mohd
Politeknik Kota Kinabalu
e-mail: fitri@polikk.edu.my



Abstrak

                                 

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk  mengenalpasti tahap kefahaman pelajar pekak dan bisu di Politeknik Kota Kinabalu terhadap ibadah solat yang dilakukan setiap hari. Berdasarkan pemerhatian awal penyelidik, didapati terdapat jurang pergaulan antara pelajar-pelajar pekak dan bisu di Politeknik Kota Kinabalu dengan pelajar-pelajar normal. Pergaulan mereka terhad terhadap kalangan mereka sahaja atau dengan mereka yang boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Keadaan ini membawa kepada pelbagai persoalan terutamanya berkaitan kefahaman dan amalan ibadah solat mereka. Justeru, antara objektif kajian yang dijalankan ini adalah untuk mengetahui tahap pengetahuan pelajar pekak dan bisu berkaitan prinsip dan hukum-hukum berkaitan  ibadah solat di dalam agama Islam dan pengetahuan mereka bagaimana pelaksanaannya. Kaedah pengumpulan data yang dijalankan ialah secara kualitatif iaitu dengan menggunakan kaedah pemerhatian terhadap amalan mereka dalam menunaikan ibadah solat di Pusat Islam dan juga menggunakan kaedah temu bual secara bertulis dengan dibantu seorang pensyarah bahasa isyarat yang menerangkan maksud soalan temu bual yang dikemukakan. Pensampelan kajian yang dijalankan ialah melibatkan 14 orang pelajar pekak dan bisu iaitu 8 orang pelajar lelaki dan 6 orang pelajar perempuan untuk semester satu, dua dan empat yang aktif untuk semester Disember 2013. Hasil kajian ini mendapati kebanyakan pelajar mengetahui kedudukan ibadah solat di dalam Islam, hukum-hukum berkaitan ibadah solat serta kaedah pelaksanaannya. Hanya sebilangan kecil daripada mereka sahaja yang tidak mengetahui terhadap persoalan yang dikemukakan. Berdasarkan kajian yang dijalankan ini, penyelidik berpendapat bahawa pelajar-pelajar pekak dan bisu perlu didekati, difahami dan dibantu oleh orang-orang normal agar kemajuan dan pencapaian mereka seiring dengan orang-orang normal terutamanya berkaitan persoalan yang penting di sisi agama seperti ibadah solat.





Kata kunci : pekak, bisu, solat, Politeknik Kota Kinabalu, bahasa isyarat