25 Februari 2009

Mantan MB Pernah Diberi Amaran ‘Bala’ Yang Akan Menimpa


Kuala Terengganu – Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh pernah diberi peringatan oleh pewaris lapisan ke enam Tok Sheikh Duyong, supaya menghentikan segera kejohanan perahu layar ‘Monsoon Cup’. (Gambar - Monsoon Cup, gambar kecil, Iyaz Spa and Resort, dulunya Kelab Teluk Warisan, yang didirikan diatas tanah anugerah sultan kepada Tok Sheikh Duyong)

“Yang saya marah, Pulau Duyong Kecil itu, telah dijadikan hotel (Kelab Teluk Warisan), apabila telah dijadikan tempat sebegitu,jadi tempat maksiat, arak naik, perempuan naik, judi, perkara-perakara yang bertentangan dengan Islam, itu yang berbalik kepada (wasiat) Tok Sheikh tu, tak benarkan arak (dan maksiat),”kata Wan Mohd Salleh @ Wan Ngah Hj Yaakub di rumahnya Kuala Ibai, kelmarin.


Menurutnya sebelum pilihanraya umum ke 12, Mac tahun lalu, beliau telah bertemu secara berdepan dengan mantan Menteri Besar Terengganu di pejabatnya.

Beliau berkata, ketika pertemuan yang berlangsung selama sejam setengah itu, beliau telah menceritakan seluruh kisah termasuk ‘wasiat’ Tok Sheikh Duyong.

“Saya cerita habis tentang Tok Sheikh Duyong, dia tak kata apa, jadi akhirnya saya kata (kepada Idris) saya mari jumpa Dato’ ni bukannya apa, saya nak lepaskan tanggungan saya, hok Tok Sheikh Duyong hari tu, kalau saya biar begini (tak beritahu) saya tanggung dosa, sebab saya tahu ceritanya (wasiat Tok Sheikh Duyong).Kalau Dato’ nak jalan juga, Dato’ punya pasallah,”kata beliau yang pernah menjadi guru kepada Idris di Besut pada awal tahun 1960an dahulu.

Walaupun begitu beliau berharap agar Idris sebagai Menteri Besar ketika itu membatalkan acara sukan perahu layar yang banyak mengundang perlanggaran kepada wasiat Tok Sheikh Duyong.

“Tok sah (jangan) buatlah (Monsoon Cup), kalau nak buat, ganti tempat asal, buat tempat (belajar) ugama,”ujarnya lagi.

Katanya, apabila tidak mendapat apa-apa respon dari Idris, sebelum beliau pulang, beliau sekali lagi memberikan ingatan yang keras berbentuk amaran kepada Idris.

“Tak apa lah Dato’(Idris), saya nak balik dah, saya harap Dato’ pegang betul-betul jangan main-main, saya bimbang kalau Dato’ teruskan juga, bala akan turun,”katanya menceritakan kepada Buletinonline kisah pertemuannya dengan Idris.

Tiga bulan selepas perjumpaan antara dengan Dato’ Seri Idris, pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) telah diadakan pada 8 Mac, 2008.

Walaupun Idris menang dalam PRU 12 dan Barisan Nasional mendapat majoriti kerusi dalam DUN Terengganu, Idris yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional negeri Terengganu gagal menjawat kembali jawatan Menteri Besar.

Tok Sheikh Duyong, adalah ulama’ terkenal nusantara, telah dilantik menjadi Mufti Terengganu oleh Sultan Omar pada tahun 1846.

Semasa pertabalan anak muridnya, Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung dalam solat hajatnya telah berdoa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan.

Tok Sheikh Duyong telah diberikan anugerah sebuah pulau, Pulau Duyong Kecil oleh Sultan Terengganu dan dijadikan kawasan penempatan anak-anak muridnya yang datang ke Pulau Duyong untuk menuntut ilmu ugama.
Tok Sheikh Duyong pernah berpesan dan kemudiannya menjadi ‘wasiat’ agar tidak membenarkan setitik arak pun tumpah di atas Pulau Duyong Kecil dan tidak dibenarkan berlaku sebarang maksiat di atasnya.

- Adaptasi dari Buletinonline,Rabu,25/2/2009.

1 ulasan:

DAMAI berkata...

salam singgah...

sungguh,bala sebenar masih belum turun....:(