28 September 2008

كل عام و أنتم بخير



CommentEstate.com: Click Here To Get One
Naruto Wallpaper - Chicken Recipes - Funny Stuff - Computer Geeks

Politik Malaysia Makin Gawat

Nik Abdul Aziz Nik Mat – HarakahDaily.net
Sun | Sep 28, 08 | 5:43:58 pm MYT
BELUM pernah saya melihat suasana politik negara yang segawat ini. Pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pernah dipersetujui oleh timbalan dan naib-naib presiden tidak dipersetujui pula oleh salah seorang Naib Presidennya.
Akhir-akhir ini, pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin mula kelihatan disokong oleh Najib supaya tarikh peralihan kuasa ditentukan perwakilan.
2) Sedang Pak Lah melahirkan kekecewaan, Muhyiddin sering dikaitkan pula dengan Ku Li dalam penyediaan pelan alternatif demi memulihkan Umno atau menggantikan Presiden Parti.
Sementara itu, Pak Lah dikejutkan pula dengan hajat terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali semula ke pangkuan Umno.
Dalam keadaan Datuk Ahmad Ismail yang dilihat menyentuh perkara sensitif mengenai kaum, tiba-tiba tak semena-mena wartawan daripada Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor ditahan di bawah ISA.
Selepas 24 jam dalam tahanan, Tan Hoon Cheng telah dilepaskan pula kerana mengikut Syed Hamid Albar, polis menahan beliau di bawah ISA kerana terdapat 'ancaman terhadap nyawa'(?)
Bukankah semua ini pelik namanya. Dalam keadaan kegawatan yang bertimpa-timpa, Datuk Zaid Ibrahim pula meletakkan jawatan.
Zaid meletak jawatan tetapi PM tidak mahu terima. Tanpa mengambil banyak masa, walaupun ditawar cuti dua minggu, Zaid tetap menolak dan mengisytiharkan peletakan jawatan beliau kerana tidak puas hati dengan penyalahgunaan ISA oleh kerajaan keesokan harinya.
Semakin menarik apabila semua akhbar 18 September memberitakan bahawa Zaid menyertai gerakan caucus yang dianggotai Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim dan lain-lain untuk menentang ISA.
3) Di tengah-tengah keghairahan ugutan ISA yang seakan-akan memanjangkan tangannya ke batang tengkok Dato� Seri Anwar Ibrahim, Majlis Peguam yang disertai oleh 12,000 peguam telah membuat EGM Khas pada 20 September 2008; membantah keras ISA bahkan mendesak membatalkan Akta yang zalim ini.
Pada tahun 1998, Umno cuba memerangkap Anwar dengan tuduhan liwat. Walau terpaksa memunggah bantal dan tilam sambil mengutip rambut dan bulu untuk menegakkan pembuktian, Anwar telah ditumbuk dan ditendang ke lokap dan dipaksa menjalani enam tahun hukuman.
Anehnya, di hujung pertimbangan Anwar didapati tidak bersalah oleh Mahkamah. Tidak serik dengan pengalaman pahit ini, Umno sekali lagi dilihat cuba mengitar semula tuduhan liwat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Belum didapati bersalahpun sekali lagi Anwar telah terpaksa melalui lorong ejekan untuk dicerca oleh media.
Ini yang saya katakan, keadaan negara yang sedang berada dalam sebuah krisis kepercayaan yang tenat. Hati saya sentiasa bertanya sama ada; politikkah ini atau kecelaruan?
Dalam kes tuduhan liwat ini, boleh dikatakan semua ahli ilmu yang ikhlas kerana Allah telah menegur kerajaan yang suka menuduh tanpa mengikut sistem pembuktian yang telah dilandaskan oleh Kitab Allah S.W.T.
Semua peraturan ini berada di dalam Hududullah. Adalah menjadi kewajipan bagi mana-mana pemerintah yang taklif yakni dibebankan dengan hukum untuk menanggung dan melaksanakan ketentuan Allah S.W.T.
Perintah Allah ini telah wujud sebelum wujudnya Umno dan sebelum wujudnya PAS.
Tuduh orang kerja mungkar
Menuduh orang sesuka hati adalah kerja semua kerja mungkar.
4) Sekarang, Datuk Seri Dr Rais Yatim pula kelihatan mengumpan rakyat Malaysia dengan tohmahan yang lain. Tanpa perlu menunggu lama, keesokan harinya Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mendorong rakyat melihat Datuk Seri Anwar sebagai ancaman.
Ini diikuti pula oleh Tan Sri Muhammad Muhd. Taib selaku Ketua Penerangan Umno yang mencampur adukkan apa yang disebutkan oleh Rais dengan sentimen Cina dan India yang kononnya boleh mencetuskan keresahan kaum.
Sedangkan yang resah adalah Umno kerana kemaraan Anwar dengan 31 'penyokong baru' cukup berpotensi untuk meruntuhkan Umno/BN. Boleh dikatakan semua rakyat boleh berfikir bahawa Umno/BN yang sedang bercelaru.
Rakyat sedang tenang menjalani ibadat puasa, tadarus, Tarawih dan qiamullail pada bulan Ramadan ini. Demikian juga dengan masyarakat Cina dan India. Mereka cuma resah melihat pemimpin-pemimpin Umno yang gelisah.
Anwar bukan ancaman kepada keselamatan negara tetapi ancaman kepada survival Umno. Inilah yang menjadikan mereka kehilangan arah.
Sekali menuduh Anwar melakukan liwat. Sekali menuduh Anwar rasuah. Sekali menuduh Anwar agen asing. Sekali menuduh Anwar disokong oleh Amerika.
Sekali menuduh Anwar pengancam kepada ekonomi dan keselamatan negara. Dalam rekaan alasan yang berputar-putar itulah rakyat khuatirkan keselamatan Anwar. Sebab itu saya awal-awal lagi menyebutkan tentang kekhuatiran saya terhadap Anwar yang mungkin akan diISAkan.
ISA jadi alat
Walaupun hati saya lega apabila Datuk Seri Perdana Menteri seakan-akan mengeluarkan jaminan bahawa ISA tidak akan digunakan ke atas Anwar tetapi maklumat yang kononnya diperolehi oleh Menteri Luar bahawa Ketua Pembangkang sedang diperalatkan oleh US untuk menghuru harakan Malaysia (Utusan Malaysia 20 September 2008) cukup merisaukan saya semula.
Ingatlah bahawa di dalam Al-Quran sudah berapa banyak Maharaja yang ditolak ke neraka kerana suka menzalimi orang-orang yang baik. Firaun, Namrud dan Haman jauh lebih handal daripada pemimpin-pemimpin Malaysia.
Al-Quran merakamkan nasib mereka, "Maka Kami hukumlah Firaun dan bala tenteranya, lalu kami lemparkan mereka ke dalam laut.
Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong." (Surah A-Qashash: Ayat 40 dan 41).
5) Kita kena faham bahawa kita ini adalah makhluk yang dicipta. Atas belas ehsan Allah S.W.T. kita diberi kesempatan untuk hidup di muka bumi. Bumi ini adalah tempat ujian untuk kita membuktikan pengabdian kita kepada Allah S.W.T.
Setiap denyut jantung dan putaran darah yang memunggah masuk keluarnya oksigen dan karban dioksida dan hati selaras proses pembersihan buah pinggang untuk menyempurnakan pula penghadaman dan pembuangan melalui usus kecil dan usus besar adalah terjadi atas anugerah dan kudrat iradat Allah S.W.T.
Sama ada kita tidur atau berbaring, segala proses biologi yang mengambil tempat dalam tubuh kita setiap hari semuanya diatur rapi oleh Allah S.W.T. Semua nikmat yang telah disempurnakan ini untuk menguji setiap hamba sama ada mahu membuat maaruf atau mungkar.
Memfitnah orang ini sebenarnya sebuah kemungkaran. Sama seperti menuduh zina, menuduh Anwar tanpa bukti atau menuduh Anwar sebagai tali barut Amerika adalah kerja dosa.
Lebih zalimlah jika dalam keadaan bukti yang tiada, Anwar mahu disumbat sekali lagi ke sel menggunakan Akta ISA. Walaupun Rais Yatim menyatakan tentang adanya 'pihak tertentu' tetapi bolehkah rakyat diberitahu tentang siapakah mereka?
Insiden Memali
Sebenar manakah mereka? Saya masih tidak lupa betapa Dato� Seri Rais Yatim pernah terlibat dalam menjelaskan punca fenomena insiden Memali yang mengorbankan 14 syuhada pada tahun 1986.
Rais Yatim jugalah yang bersungguh-sungguh untuk menjelaskan kewajaran kepungan dan pembunuhan yang berkaitan. Walau bagaimanapun 24 tahun kemudian, belum ada lagi sebarang bukti bahawa mereka adalah ancaman terhadap keselamatan negara. Apakah kali ini Rais Yatim tidak akan silap?
6) Sibuk sangat khuatirkan Anwar yang kononnya boleh dijadikan 'pemimpin ke hadapan' yang akan dijadikan alat Amerika, sedangkan pada pengamatan saya, pemimpin Umno sejak dari awal penubuhannya lagi selalu memisahkan agama dengan politik.
Pegangan politik sekular ini sangat direstui oleh Amerika dan Yahudi. Ini yang pernah saya katakan bahawa Umno menjadi penyokong dan proksi kepada Amerika dan yahudi di negara ini sejak dahulu lagi.
Saya tidak membela Anwar Ibrahim dan melawan Datuk Seri Abdullah mengikut sentimen dan nafsu yang fujur semata-mata. Saya cuma mahu menjadi pembela kebenaran. InsyaAllah saya bersama-sama dengan 'Al haqqul mubim'.
7) Saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menghayati maksud Ayat Allah ini dalam Surah An Nisaa'. Ayat 105 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang-orang yang tidak bersalah), kerana (membela) orang-orang yang khianat."
Kunci kepada Ayat ini ialah "kamu jangan membela orang-orang yang jahat dengan memberi keadilan melalui wahyu Allah yang telah diturunkan kepada kamu."
8) Ramadan Karim. Ini bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan. Ingatlah. Tuhan Maha Berkuasa untuk menentukan segala sesuatu. Dalam kisah Nabi Allah Saleh Alaihissalam disebutkan begini:
"Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyamaratakan mereka (dengan tanah) dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakanNya itu." (Surah Asy Syams : Ayat 14 dan 15).
Dari Ayat ini jelas bahawa "mereka dibinasakan di atas dosa-dosa mereka." - mj _

23 September 2008

Ramadhan dan Sains

Mengejar Anugerah Allah

Mengejar malam al-Qadar mendidik umat Islam agar sentiasa mengejar untuk mendapatkan anugerah Allah dan bukannya anugerah manusia. Anugerah Allah terlalu istimewa. Cubalah bayangkan, siapakah yang sanggup memberi bonus 83 tahun kepada pekerjanya yang bekerja hanya pada satu malam? Tiada. Namun Allah sanggup memberi pahala 1000 bulan kepada mereka yang beramal pada satu malam iaitu malam al-Qadar. 1000 bulan menyamai 83 tahun. Anugerah Allah ialah ganjaran pahala dan kemuncaknya syurga atau jannah dan ia merupakan anugerah yang kekal abadi. Dalam sebuah hadis kudsi Allah berfirman, "Aku (Allah) telah sediakan bagi hamba-Ku yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk mencapainya amal ibadah perlu dilaksanakan dengan cara yang betul dan hati yang ikhlas secara bersungguh-sungguh. Allah berfirman, "Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan baginya ganjaran dari sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita." (Surah Baqarah ayat 112)

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsirul Quranil Azim, "(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima (oleh Allah)."

Justeru melaksanakan amal salih dengan hati yang ikhlas dan cara yang betul sepatutnya menjadi agenda utama yang dikejar oleh umat Islam. Inilah yang dimaksudkan Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Haj ayat 46 yang bermaksud, "Harta benda dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan di dunia. Al-Baqiah as-Solihat adalah lebih baik ganjarannya di sisi Tuhanmu dan lebih baik untuk dijadikan harapan."

Ya, kita perlu mengejar al-Baaqiyaatuss-Solihat. Dalam Al-Quran dan Terjemahannya terbitan Mujamma' Al-Malik Fahd Li Thiba'at Al-Mushaf, al-Baqiah as-Solihat diterjemahkan sebagai "amalan-amalan yang kekal lagi salih." Al-Baqiah as-Solihat mengikut tafsiran Abdullah ibn Abbas dan Said bin Jubair ialah solat yang lima. Mengikut satu riwayat yang lain daripada Abdullah ibn Abbas, ia ialah kalimat yang baik. Mengikut Said bin Musayyib, ia adalah subhanallah, walhamdulillah, lailahaillallah, Allahuakbar dan lahaulawalaquwwataillabillah. Pendapat yang agak merangkumi lagi baik ialah daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Beliau berpandangan, al-Baqiah as-Solihat ialah kesemua amalan yang salih. Imam Ibn Jarir cenderung dengan pendapat ini.

Puasa dan Detoksifikasi

Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.

Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, "Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit."

Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, "Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya."

Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, "Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu..." (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)

Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It's Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.

Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)

Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, "Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat." (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)

Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan.

Ramadan dan Kesihatan

Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan' diadakan di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. (Rujukan: The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting,
Dr. Shahid Athar, M.D., www.crescentlife.com )


Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu karang dalam buah pinggang dan yang seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama kerana Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud, "Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikannya pada hari yang lain."

Jika penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini telah disebutkan dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.

Namun secara umumnya, berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan.

Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications, Indianapolis.

Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001)>


Puasa dan Kesihatan Mental

Otak manusia mendapat banyak manfaat melalui puasa.Kajian dari Universiti Kentucky mendapati berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Kajian yang diketuai oleh Patrick Sullivan dari UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center ini mendapati proses kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit-pesakit berkenaan berpuasa selama 24 jam. Hal ini mungkin disebabkan oleh keton (ketones) yang terhasil dalam darah orang yang berpuasa. Keton (ketones) didapati berperanan mencegah proses kerosakan yang berlaku ke atas sistem saraf (neuro-protective). Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Neuroscience Research. (Rujukan: Fasting Can Reduce Brain-Injury Impact,http://news.uky.edu/, 14 Mac 2008)

Puasa juga merangsang pengeluaran hormon yang dikenali sebagai endorphin. Hormon tabii ini berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates) yang menghilangkan kesakitan serta mendamaikan minda justeru mencegah daripada serangan penyakit mental.

Tambahan daripada itu puasa juga membantu tidur dan hal ini adalah penting terutamanya bagi golongan tua. Oleh sebab proses pemulihan badan berlaku ketika tidur kemampuan untuk tidur dengan nyenyak menjamin kualiti proses pemulihan itu. Berdasarkan analisis terhadap gelombang otak melalui graf elektroensefalogram (EEG) pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di musim Ramadan berbanding di bulan-bulan lain. Perubahan-perubahan positif ini membantu fokus dan konsentrasi umat Islam di musim Ramadan dan menjadikan mereka lebih produktif. Penemuan-penemuan ini dilaporkan oleh Dr. Ebrahim Kazim (M.B.B.S., M.R.C.P.) dalam bukunya Further Essays on Islamic Topics. Beliau merupakan pengasas dan pengarah Akademi Islam Trinidad. (Rujukan: Dr. Ebrahim Kazim, Fasting and Your Biological Rhythms, http://www.islamonline.net/, 12 November 2002)


Bersahur dan Sains

Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan Terdapat banyak hadis nabi yang sahih yang menekankan tentang kepentingannya. Antaranya ialah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud, "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan." Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, nabi bersabda, "Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur." Begitulah status kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.

Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa." Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad. Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, "Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh)." Kemudian Zaid bin Thabit disoal, "Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?" Berkata Zaid, "Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran." Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.

Ketika merumuskan tentang kepentingan bersahur, Imam Ibn Abdil Bar berkata, "Hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir." Hal ini nyatakan di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul AutharPustaka Bina Ilmu, Surabaya) terjemahan A. Qadir Hassan, Mu'ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A. (

Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.

Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, "Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur'."

By Dr Danial Zainal Abidin

19 September 2008

Tarawih Ramadhan...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Hampir sebulan lamanya blog ini tidak di’update’.Maaf,mungkin ada pengunjung setia yang mengharapkan adanya ‘entri2’ terbaru daripada penulis.Bukannya tak mahu taip,ade idea tapi perasaan malas sentiasa menyerang dan mangsanya selalu tertewas.Lagipun blog ini diwujudkan bukan sebagai penyebar fikrah penulis atau pemiliknya semata,tapi hanya sekadar santai-santai sahaja sambil-sambil berkongsi pengalaman.
Alhamdulillah,marilah sama-sama kita mengucap syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan kurnianya dapat lagi kita merasai kehadiran kehadiran Ramadhan pada tahun ini.Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan tahun ‘kelmarin’ dan sama-sama kita doakan supaya Allah mengurniakan kita Ramadhan akan datang.Amin…Ya Rabb!!
Penulis tertarik untuk berkongsi pengalaman merasai suasana Tarawih di Mesir ini.Mungkin di sana telah banyak cerita-cerita berkenaan Tarawih di negara-negara Arab.Tapi setiap cerita ada perbezaannya lantaran pengalaman dan pandangan yang berbeza-beza antara penulis.
Tahun ni seperti kebiasaannya diteruskan kelas pengajian’ tafaqquh fiddeen’ oleh Syeikh Muhammad Nuruddin di Haiyyu Asyier ini dan Rumah Terengganu terpilih sekali lagi sebagai pentas utama pengajian.Sambutannya seperti biasa pasti ramai dengan kehadiran pencinta-pencinta turath yang berkampung di Asyier ni.Tambahan pula kelas ini ditayang secara ‘live’ melalui laman web http://www.mymkkk.tv.
Namun beberapa hari pada awal Ramadhan,Syeikh bersama rombongan telah berangkat ke Al-Haramain untuk melaksanakan ibadah umrah yang pahala umrah di bulan Ramadhan menyamai pahala menunaikan haji. Penulis tidak dapat join sekali lantaran sekarang ini agak ‘kekeringan’.Memang hati ini meronta-ronta untuk pergi walaupun pernah sampai di sana pada tahun 1426 yang lalu.Benarlah,pertama kali pergi pasti akan mebuahkan kerinduan untuk kembali lagi ke sana.
Hari-hari tanpa pengajian Syeikh diisi dengan ibadah tarawih di masjid-masjid sekitar Kaherah.Satu pengalaman yang baru kerana walaupun penulis dah berada 4 tahun di Mesir inilah kali pertama dapat bertarawih di masjid-masjid besar Kaherah.Hampir kesemua masjid di Mesir dilaksanakan Tarawih 8 rakaat dan pastinya diselangi dengan tazkirah.


al azhar

al-Azhar

Antara masjid terkenal adalah Masjid Al-Azhar sendiri.Alhamdulillah,penulis berjaya sampai ke sana walaupun tempoh perjalanan mengambil masa kebiasaannya 45 minit untuk sampai.Satu keistimewaan tarawih di Al-Azhar adalah bacaan Quran dalam tarawih adalah mengikut Qiraat sepuluh di samping bacaan yang merdu dan yang penting, nyaring.Penulis bercadang juga untuk ke Masjid Saidina Husein yang terletak tak jauh dari Al-Azhar cuma dipisahkan dengan jalan raya tapi tak berkesempatan.
Seterusnya Tarawih di Masjid Sayyidah Nafisah.Nama masjid ini adalah bersempena nama salah seorang wanita keturunan Rasulullah yang mulia melalui cucu baginda Saidina Husein yang dimaqamkan di situ.Bacaan Quran oleh imam di sini tidak jauh beza daripada imam-imam lain.Cuma ape yang membuatkan penulis tertarik adalah bacaannya cukup fasih dan mantap mengingatkan penulis kepada guru penulis iaitu Syeikh pengajian Tashih perawi tertinggi sanad al-Quran,Syeikh Nabil Muhammad.
Selesai di situ,penulis bersama rakan ketika itu dan berkesempatan membonceng motosikal berjenama Dayun milik rakan penulis yang seorang lagi menuju ke Masjid Sultan Hasan yang tak jauh dari situ iaitu masjid yang dinamakan masjid 4 mazhab kerana mempunyai 4 ruang yang besar mewakili setiap mazhab.

Masjid Sultan Hasan

Maqam Sayyidah Nafisah

Pada kesempatan lain,penulis juga sempat berTarawih di Masjid Salam yang kebetulan berhampiran kediaman penulis.Tarawih di sini cukup terkenal dengan bacaan Quran pada setiap rakaat yang panjang.Begitu juga tazkirah antara Tarawih sehingga memakan masa sejam.
Kesimpulan penulis.Tarawih di sini walaupun hanya 8 rakaat tapi bacaannya cukup panjang bahkan satu rakaat , 1 maqra’.Ada juga satu muka mushaf satu rakaat.Dan kebanyakan jemaah masjid di kalangan warga Mesir hampir kesemua hafaz al-Quran.Jadi,tidak hairanlah mereka dapat menghayati Tarawih sepenuhnya walaupun bacaan setiap rakaat agak panjang.
Setakat ini sahaja coretan penulis untuk ‘entri’ kali ini.InsyaAllah,penulis berazam untuk berTarawih pada malam ke 27 nanti di Masjid ‘Amru al-‘As yang akan diImamkan oleh Syeikh Muhammad Jibril.

Sekian.
19 Ramadhan 1429H