14 November 2008

HUKUM WANITA SOLAT DI RUMAH

SOALAN:
Bolehkah seorang lelaki meminta isterinya supaya bersolat di rumah tanpa pergi ke masjid?

JAWAPAN:
Solat berjemaah di masjid adalah lebih afdhal dari solat di rumah bagi golongan lelaki. Bagi golongan wanita solat di rumah lebih afdhal. Berkata Syeikh Al-Marsafi dalam komentarnya terhadap kitab Manhaj at-Tullab ( fiqh Syafie ) :
Solat berjemaah di masjid walaupun dalam bilangan yang sedikit adalah lebih afdhal dari tempat-tempat lain bagi lelaki dan kanak-kanak, dan bagi golongan wanita dan khunsa di rumah adalah lebih afdhal. Sabda Rasulullah SAW:
أفضل صلاة المرء في بيته إلا المكتوبة أي فهي في المسجد أفضل وقال لا تمنعوا نساءكم المساجد وبيوتهن خير لهن

Maksudnya:
“ Seafdhal-afdhal solat seseorang ialah di rumah kecuali bagi solat fardhu, ia lebih afdhal dilakukan di masjid. Dan janganlah kamu menghalang isteri-isteri kamu dari mengunjungi masjid, solat mereka di rumah adalah lebih baik bagi mereka”
( Hadis Riwayat Abu Daud, di sahihkan oleh Al-Hakim dengan syarat Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Al-Bujairimi dalam Hasyiah beliau sebagai komentar hadis di atas:

“Sekiranya dalam hadis di atas menyebut solat para wanita di rumah adalah lebih baik, maka sudah tentu ia bermaksud tiada larangan untuk mereka solat di masjid. Larangan yang dimaksudkan bukannya larangan haram atau larangan secara pasti, sebaliknya larangan para wanita solat di masjid khusus bagi mereka yang boleh mendatangkan syahwat dan fitnah terhadap lelaki. Solat di masjid adalah elok bagi wanita akan tetapi solat di rumah adalah lebih elok untuk mengelakkan berlakunya fitnah ketika keluar rumah….”

Oleh yang demikian tiada halangan bagi suami untuk meminta isterinya solat di rumah kerana seorang isteri wajib mentaati suami dalam perkara yang tidak menyalahi syariat.

Petikan dari sebahagian Fatwa Syeikh Ali Jumaah

Tiada ulasan: