Menang kerana strategi
Tentera Islam dalam kebanyakan perang, Perang Khandaq dan lain-lain peperangan, telah mencedok strategi ilmu peperangan daripada tamadun lain juga seperti Parsi dan lainnya. Soalan awal yang patut kita tanya diri sendiri .. adakah kita menyusun strategi?
Saufi dari Upsi akhirnya melayangkan sms, "Aspirasi meletakkan calon menang tak bertanding sebagai YDP. Calon undi tertinggi PRK UPSI hanya diletakkan sebagai exco, memang mainan HEP." Saya tidak menjawab sms itu kerana penjelasannya panjang.
Maka, buang jauh-jauh pendapat selama ini, bahawa yang mendapat undi (angka) tinggi akan menang. Berasaskan pengalaman sebelum ini pun, kita dah tahu bahawa HEP Umno dan Aspirasi akan melakukan 1001 macam kaedah dan strategi untuk menang.
Kisah pilihan raya di USM itu belum tamat. Inilah sambungannya. Selesai pengiraan undi malam itu, wakil-wakil PMI, Dema yang membentuk pakatan propelajar berasa riang dan gembira. Puas hati kerana mereka mendapat undi tertinggi.
Dalam senarai calon umum itu, 4 orang wakil propelajar telah menang dan seorang sahaja wakil Aspirasi yang tersenarai dalam undian tertinggi. Sebahagian rakan-rakan PMI telah menuju ke Masjid al-Malik Khalid di USM malam itu kerana usaha mereka berbaloi.
"Kita mahu sujud dan solat syukur!" kata mereka beramai-ramai. Dan rakan-rakan Dema pun menghala ke arah Restoren Khaleel, membuang penat yang lama bertakung di tubuh mereka menjelang PRK. Demikianlah cara mereka melepaskan ketegangan di kepala.
Malam itu, sejurus pengumuman dilakukan oleh Dato' Profesor Jamaludin Mohaiadin di dewan kuliah, kumpulan Islamis melaungkan takbir dengan kemenangan itu. Gema takbir disambut TNC dengan gurauan sadis, "Yang itu (laungan) Pas!"
Deraian ketawa pun melimpah, memenuhi dewan kuliah yang bertukar menjadi tempat mengira undi. Propelajar meraikannya penuh gembira. Tak pernah tercuit, selepas itu, ada hari-hari gelap dan mendung suram mendatang, menyaksikan mereka kalah percuma!
Warga Berita Kampus berkerut dahi seperti biasa. Ya.. kerja kami belum lagi selesai. Dan saat pulangnya ke desasiswa Indah Kembara, saya terlihat kelibat juak-juak Aspirasi yang berkumpul bersama TNC di tanah lapang yang berhampiran tempat pengiraan itu.
"Kau agak.. apa TNC buat di situ?" demikian saya bertanya 'Deep Throat'.
"Entahlah, aku pun tak tahu," duri dalam daging HEP itu membalas ringkas.
"Kan kau yang selalu rapat dengan mereka?" saya bertanya kembali. Saya syak ada suatu rancangan baru yang bakal menyusul tiba. Tapi, kami gagal memahami apa-apa.
Tiba-tiba, selesai perbincangan antara TNC dan mahasiswa Aspirasi itu, mereka bertepuk tangan penuh kegembiraan. Dan mereka menyanyikan sebuah lagu. Sah! Mereka gembira ini tentunya ada apa-apa. Mereka tahu mereka akan menang! Tetapi, strategi apa?
Perang tiga peringkat
Sebab itulah dalam tulisan baru-baru ini, saya menyatakan bahawa saya mestilah gembira dengan kemenangan siswa Upsi, tapi peratus kegembiraan itu tak sampailah 100%. Saya hadam benar strategi dan pola pemikiran HEP. Bukan saya nak berlagak. Percayalah..
Sudahkah saudara menyiapkan pelan peperangan tiga peringkat? Saya percaya, ramai pro siswa menyediakan dua rancangan saja, iaitu sebelum PRK dan ketika berlangsung PRK. Sebenarnya, ada satu lagi strategi terakhir, iaitu 'backup plan' .. strategi selepas PRK.
Suatu malam, ketika berbual di ruang maya YM, Hamzah mengirim maklumat yang sama seperti Saufi. Iaitu, meminta cadangan tentang bagaimana mahu bertindak.
"Tiga calon umum yang menang PRK di Upsi dilantik jadi exco saja. Walhal, kami minta dua kerusi MT saja, iaitu NYDP dan bendahari.
"Dengan rakusnya, Proaspirasi bolot semua kerusi MT. Bagi saya, mereka dah menafikan majoriti undi siswa yang mengundi promahasiswa khasnya untuk kerusi umum," katanya. Beliau antara yang yakin sepenuhnya bahawa promahasiswa menang besar di Upsi.
Baiklah, yang tersurat telah pun terjadi. Saya teringat ungkapan Einstein yang tidak kalah menariknya. Lebih kurang begini, "Keburukan terjadi bukan kerana dunia ini dihuni oleh ramainya penjahat. Tetapi, keburukan berlaku kerana orang-orang yang sedar, melihat hal kemungkaran berlaku di depan matanya, tetapi tidak mengubahnya."
Pengajarannya..masalah ini terjadi bukan kerana Umno, HEP, Aspirasi berbuat kejahatan. Tapi, kerana orang-orang baik tidak berbuat apa-apa. Nah! Saya yakin saudara pasti rasa 'tension' lagi mendengar kenyataan ini.
Sudahlah kami kalah dan tidak mendapat kuasa, hasil penipuan HEP, kini anda menghina kami pula sebagai kelompok siswa yang tak bertindak?! Baik..dengar dulu apa penjelasan saya yang berikutnya. Asas kenapa saya berkata demikian memang wujud.
Saya bercakap melalui pengalaman, bukan cakap ikut suka hati. Di USM, hal yang sama telah berlaku. Ketika kes itu terjadi, kumpulan mahasiswa ini, Aspirasi dan promahasiswa telah dibawa ke kem BTN. Maka, gerak kerja 'brainwash' pun bermula.
Ceritanya sangat panjang di sini. Tapi, memadailah kalau saya ringkaskan di sini bahawa pada akhirnya, USM jatuh juga ke tangan Aspirasi.
"Hangpa buat apa lepas ni?" tanya saya kepada seorang pemimpin propelajar. Diam..
Kepada seorang pimpinan pelajar lagi saya turut bertanya, "Tak bolehkah buat kenyataan untuk bantah.." Dia juga mati akal. Selalunya begitulah, pimpinan siswa diam pada pasca PRK. Di sini HEP suka, sebab dia tahu pada pasca PRK propelajar akan diam sahaja.
Dan percayalah, bahawa hal ini akan terus menjadi satu budaya yang berterusan. Tahukah saudara betapa azabnya ketika saya terpaksa memujuk seorang pimpinan propelajar untuk memberikan kenyataan di Berita Kampus bahawa promahasiswa di USM menang?
"Tak apa, kalau HEP panggil nanti, kita pergi sekalilah," demikianlah saya memujuknya. Akhirnya dia bersetuju, memberanikan diri untuk memberi kenyataan kepada BK.
Saya masih ingat, hari Jumaat pagi dia menelefon saya. "Abang, HEP dah panggil."
Atas keinginan mahu bertanggungjawab dan rasa ingin bergaduh dengan HEP, maka saya jadi gembira kerana perangkap saya mengena. En. Nazrul memang marah saya. Dia halau saya keluar dari pejabat. Saya enggan. Saya merapati keraninya. Pendek kata, saya masih ingin menimbulkan kemarahan pegawai HEP itu. Fuh! Seronoknya!
"Jangan rapat dengan kerani saya!" marahnya lagi. Saya enggan. Ketika itu saya sudah di luar biliknya. Saya tak mahu menunjukkan bahawa saya akan tunduk pada arahannya. Di sini, kita harus tahu bahawa pegawai HEP berasa gembira kalau arahannya dipatuhi.
Anda mesti cuba melanggar sebanyak mungkin arahan ini dengan sengaja hingga mereka sakit hati. Semua ini pasti akan melemahkan mereka dan anda jadi kuat tiba-tiba.
"Saya bukan panggil awak! Saya panggil dia seorang saja!" katanya ketika merujuk siswa itu. Saya masih diam, buat-buat memandang siling, pintu, meja dan apa-apa sajalah yang boleh dipandang. Anda mesti tekan perasaan HEP, tapi kenapa hal ini tak dilakukan?
Sesekali, anda perlu berlawak jenaka juga dengan HEP. Ini sebagai menunjukkan bahawa mereka ini tidak dihormati oleh warga kampus. Ada banyak lagi yang mahu diceritakan. Tetapi, biarlah saya berhenti di sini dahulu.
Syor dan cadangan
Baiklah..ketika saya mengarang ini, saya sendiri tak tahu apa yang sedang dilakukan oleh HEP dan apa yang sedang dirancang oleh mahasiswa Upsi itu. Tapi inilah syor-syor yang mungkin boleh saudara usahakan.
Pertama, himpunkan mahasiswa Upsi seluruhnya yang telah mengundi propelajar tempoh hari. Gunakan kebijaksanaan, mengguna persatuan-persatuan tertentu di Upsi yang anda kuasai untuk menggunakan kemudahan tersebut.
Kedua, sebarkan 'flyers' maklumat tentang perhimpunan itu. Minta pandangan-pandangan mereka berhubung kaedah bagaimana yang perlu mereka lakukan bagi mengatasi hal ini. Katakan kepada siswa, undi anda telah dinafikan oleh HEP, maka apa tindakan kita?
Ketiga, lantik barisan 'MPP alternatif'' dan isytiharkan kepada semua mahasiswa bahawa inilah MPP yang sah sebenarnya dan MPP yang dilantik HEP itu adalah MPP haram.
Keempat, kenyataan dan pendirian saudara berhubung MPP alternatif itu hendaklah juga dirakam melalui YouTube dan salinannya disebarkan seluas-luasnya di internet.
Kelima, berjumpa dengan pihak media cetak, media eletronik, Buletin Utama, NTV7 dan sebagainya untuk mengisytiharkan bahawa MPP anda adalah sah dan HEP telah khianat kepada perjalanan demokrasi kampus.
Keenam, melalui kenyataan terbuka di media eletronik, desak Idris Haron agar menjawab segala kenyataan saudara itu termasuklah pegawai HEP anda sendiri.
Ketujuh, undang bersama pensyarah-pensyarah yang berani sebagai penasihat anda dalam hal ini. Ertinya, mahasiswa propelajar yang dilantik sebagai exco di dalam MPP haruslah meletakkan jawatan untuk dimasukkan dalam kerajaan MPP alternatif itu.
Dan banyak lagi yang boleh anda rancangkan nanti. Perhatian.. semua langkah di atas ini memang jelas menyalahi Auku. Anda tak boleh membuat kenyataan media melainkan ia mestilah melalui TNC. Ini semua, anda sedia maklum bukan?
Tetapi, kalau ingin berjuang dan tak mahu ditembak mati seperti Gandhi, Hasan al-Banna atau tidak mahu dipenjarakan seperti Nelson Mandela atau maut di tali gantung sebagai Syed Qutb, lupakan sajalah syor-syor di atas. Berehatlah dan wariskan derita batin untuk generasi seterusnya pada sidang hadapan. Wariskan kekalahan ini untuk bakal guru.
Saya tidak suka menyindir, menaikkan suhu bahang kemarahan, mendidihkan kegeraman yang telah lama menggelegak di kolam perasaan saudara. Saya tahu apa perasaan disindir itu. Ek, eleh.. macamlah kami ini tidak berguna walau seduit pun.
Proteslah seperti Sivaji!
Duit satu rupee kalau jatuh dalam genggaman seorang Sivaji pun besar maknanya kerana bermodalkan duit syiling itulah dia sanggup dan berani melawan. Tengok tak filem Sivaji The Boss baru-baru ini? Kalau tak sempat tonton, belilah VCD atau DVD satu.
Tapi, janganlah berlatih baling duit syiling, berlatih makan 'chewing gum', berlatih pakai cermin mata ala Sivaji. Bukan apa syeih..Ana dah cuba banyak kali dah. Memang tak jadi pun! Jadi, saya harap saudara berlatih bijak bertindak seperti Sivaji yang mengesan wang haram dan mengguna video di mana hal itu hampir sama dengan kes klip video Linggam correct, correct, correct. Gunalah YouTube, media elektronik perdana dan lainnya.
India itu walau terjebak dalam barah rasuah menggila, masih berani bermimpi membunuh pemimpinnya lewat filem. Labu Labi walau diherdik, masih berani protes dalam mimpi, mewajahkan watak majikan mereka, Hj Bakhil sebagai pelayan bar dan beruk mat ye.
Saudara memang berani protes di dalam blog. Tahniah.. saya memang gumbira. Tapi, apa kata jika anda lanjutkan protes sebagai Labu yang terbawa-bawa protesnya di alam realiti ketika Hj Bakhil simbah wajahnya dengan air. Kita boleh lihat ketakutannya bukan?
Syahadan, tentang syor-syor cara melawan HEP pasca PRK itu bukanlah saya harapkan sangat saudara mengikuti langkah-langkah tersebut. Mungkin, dalam pertemuan saudara bersama pelajar-pelajar Upsi itu nanti, saudara akan dapat menemukan lebih banyak syor yang berguna, baik dan sesuai dengan situasi di Upsi. Itulah yang terlebih baik.
Saat mengarang ini banyak limpahan perasaan berkubang di dalam dada. Rasa nak marah dan berlagak pun ada. Justeru itu saya mohon maaf. Rasa mahu ketawa pun ada, sebab itu saya pun tergelak, terguling dan tersenyum sendirian tatkala mengarang ini.
Kata Sukarno, berikan saya 10 orang pemuda nescaya saya akan goncangkan dunia. Saya bukan Bung Karno. Cuma, nak tanya.. berapa ramai yang boleh bergerak untuk melawan dalam tempoh pasca PRK ini? Takkan Saufi dan Hamzah saja kot?!
Kee.. saudara nak saya turun ke Upsi? Haa.. jawab-jawab..
-Ali Bukhari Amir
3:02 a.m, 29 Syawal 1429
Sekolah Pemikiran Kg Baru. _
Penulis : Saya tertarik dengan artikel ini kerana sedikit sebanyak menggambarkan suasana,ragam dan sepak terajang dalam PRK di tanah air.Saya akui memang sebelum ini saya belum pernah mendengar cerita-cerita semacam ini.Saya beranggapan ini semua memang tempias daripada PRU Malaysia ke-12 yang lalu menimpa PRK di semua IPT Malaysia.Saya harap Saudara Ali Bukhari Amir merestui kisah beliau ini disalin di dalam blog saya ini dengan harapan dapat berkongsi cerita dengan rakan-rakan blogger saya yang lain terutamanya yang berada di Perlembahan Nil ini.
Saya sebenarnya rasa segan dengan perjuangan rakan-rakan siswa di IPT Malaysia apabila berdepan dengan PRK ini kerana tiada suasana sepertinya di sini.Walau bagaimanapun saya beranggapan kami di sini mungkin berhadapan dengan cabaran yang agak berbeza tapi dengan matlamat yang sama iaitu menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini bermula dari kampus supaya manusia di semua peringkat terutamanya mahasiswa beramal dengan amal Islam. Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan