09 Julai 2009

PPSMI

Semalam Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa PPSMI akan dimansuhkan dan PPSMBM akan dilaksanakan berperingkat-peringkat bermula tahun 2012.Keputusan ini adalah berdasarkan kajian yang mendalam oleh Kementerian Pelajaran terhadap PPSMI semenjak beberapa bulan yang lalu atas arahan mantan Perdana Menteri,Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi susulan bantahan rakyat yang dikepalai oleh pakar bahasa sendiri.

Saya sendiri semenjak bantahan besar-besaran yang membawa kepada kajian semula PPSMI ini turut mengikuti perkembangan ini dan sentiasa membuat penaakulan dan pemerhatian sendiri di samping pendapat rakan-rakan ‘junior’ yang merasai sendiri PPSMI.

Sebenarnya,jauh di lubuk hati,sebelum pemansuhan ini diumumkan,saya bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI ini walaupun ia mendapat bantahan keras oleh pertubuhan-pertubuhan yang berpengaruh di negara ini didahului oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seterusnya disokong kuat oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu(BM).Mungkin rakan-rakan seperjuangan akan mencemuh pendapat saya ini seolah-olah berpendapat saya ini seorang anti BM.Tapi percayalah pendapat ini didorong oleh kesedihan hati saya yang melihat umat Islam pada hari ini amat lemah dalam Bahasa Inggeris(komunikasi) terutamanya di negeri saya sendiri yang beranggapan kalau berbahasa Inggeris hanya memandai-mandai bahkan mengejek pula.Saya berpendapat Bahasa Inggeris(BI) perlu menjadi satu nilai tambah untuk diri kita terutamanya para pendokong agama dalam menempuh dunia dakwah hari ini di samping Bahasa Arab dan BM yang didahulukan.Sekurang-kurangnya dengan kemahiran BI yang kita ada ini dapat ‘membuka mata’ orang ramai yang kebanyakannya semakin ramai berpendidikan barat yang BI merupakan medium perbualan harian mereka dan kadang-kadang memperlekeh golongan yang buta BI.

Jadi,dengan pelaksanaan PPSMI sekurang-kurangnya memberi pendedahan yang bukan sedikit terhadap penggunaan BI dan sedikit demi sedikit memahirkan generasi yang melalui PPSMI.

Walau bagaimanapun,keputusan yang dibuat kerajaan semalam lebih tepat kerana secara kasarnya ia dipengaruhi oleh faktor kemudharatannya lebih besar berbanding manfaatnya.Ini berdasarkan kajian yang mendapati bahawa semenjak PPSMI dilaksanakan,pencapaian Sains dan Matematik semakin merosot dan jurang pencapaian ini amat ketara di antara pelajar bandar dan luar bandar.

Saya teringat satu firman Allah berkenaan pengharaman khamar(arak) dan judi:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآَيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu" Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?" katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.
Al-Baqarah : 219

Hujah pendalilan :
Saya bukan bermaksud menyamakan pengharaman Arak dan Judi ini dengan pengharaman PPSMI.Tapi cuba perhatikan faktor pengharaman( علة التحريم ) yang dijelaskan Allah dalam ayat ini yang mengatakan mudharatnya lebih besar dari manfaatnya dan kita juga boleh perhatikan permasalahan hukum-hukum yang lain yang menggunakan kaedah yang sama seperti isu rokok dan lain-lainnya.Begitu juga pemansuhan PPSMI ini juga agak menyamai penggunaan kaedah ini.

Kesimpulannya,tindakan memansuhkan ini lebih menguntungkan tapi tidak betul-betul merugikan terutamanya pelajar-pelajar luar bandar.Alternatif yang akan dilaksanakan pula iaitu Memperkasakan Bahasa Melayu (MBM) dan Memantapkan Bahasa Inggeris(MBI) seharusnya juga dipandang serius selaras dengan tujuan bantahan terhadap PPSMI dulu.

والله تعالى أعلى وأعلم




Tiada ulasan: