TAHAP
KEFAHAMAN IBADAH SOLAT DALAM KALANGAN PELAJAR PEKAK DAN BISU BERAGAMA ISLAM DI
POLITEKNIK KOTA KINABALU
Khairul Fitri Bin Mohd
Politeknik Kota Kinabalu
e-mail: fitri@polikk.edu.my
Abstrak
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti tahap kefahaman pelajar pekak
dan bisu di Politeknik Kota Kinabalu terhadap ibadah solat yang dilakukan
setiap hari. Berdasarkan pemerhatian awal penyelidik, didapati terdapat jurang
pergaulan antara pelajar-pelajar pekak dan bisu di Politeknik Kota Kinabalu
dengan pelajar-pelajar normal. Pergaulan mereka terhad terhadap kalangan mereka
sahaja atau dengan mereka yang boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Keadaan ini membawa kepada pelbagai persoalan terutamanya berkaitan kefahaman
dan amalan ibadah solat mereka. Justeru, antara objektif kajian yang dijalankan
ini adalah untuk mengetahui tahap pengetahuan pelajar pekak dan bisu berkaitan
prinsip dan hukum-hukum berkaitan ibadah
solat di dalam agama Islam dan pengetahuan mereka bagaimana pelaksanaannya.
Kaedah pengumpulan data yang dijalankan ialah secara kualitatif iaitu dengan
menggunakan kaedah pemerhatian terhadap amalan mereka dalam menunaikan ibadah
solat di Pusat Islam dan juga menggunakan kaedah temu bual secara bertulis dengan
dibantu seorang pensyarah bahasa isyarat yang menerangkan maksud soalan temu
bual yang dikemukakan. Pensampelan kajian yang dijalankan ialah melibatkan 14
orang pelajar pekak dan bisu iaitu 8 orang pelajar lelaki dan 6 orang pelajar
perempuan untuk semester satu, dua dan empat yang aktif untuk semester Disember
2013. Hasil kajian ini mendapati kebanyakan pelajar mengetahui kedudukan ibadah
solat di dalam Islam, hukum-hukum berkaitan ibadah solat serta kaedah
pelaksanaannya. Hanya sebilangan kecil daripada mereka sahaja yang tidak
mengetahui terhadap persoalan yang dikemukakan. Berdasarkan kajian yang
dijalankan ini, penyelidik berpendapat bahawa pelajar-pelajar pekak dan bisu
perlu didekati, difahami dan dibantu oleh orang-orang normal agar kemajuan dan
pencapaian mereka seiring dengan orang-orang normal terutamanya berkaitan
persoalan yang penting di sisi agama seperti ibadah solat.
Kata kunci : pekak, bisu, solat, Politeknik
Kota Kinabalu, bahasa isyarat